Wednesday, January 29, 2014

Air Jampi

Air jampi.

Ia juga dikenali sebagai air penawar atau lebih parah, air Yassin. Orang Melayu lebih suka menganggap bahawa air jampi itu adalah air penawar atau air Yassin kerana air jampi mempunyai konotasi yang negatif kerana ia datang dari pawang atau bomoh yang mengamalkan ilmu hitam. 

Air jampi.

Yang selalu tidak menjadi, apa lagi mujarab. Air jampi lebih dipercayai (yang dijadikan perantaraan untuk mengubati orang-orang yang sakit) dari kita sendiri mengangkat doa di hujung malam untuk memohon terus kepada Allah SWT.

Kita mungkin jatuh kafir kerana percayakan air jampi. Air jampi yang kononnya dibaca oleh ustaz akan mengubati orang yang sakit dari mereka yang sakit akibat gangguan Iblis kepada mereka yang sakit fizikal. 

Bukankah Allah menurunkan Quran untuk kita sendiri baca dan amalkan? Bukankah Allah meminta kita sebagai makhlukNya untuk terus bermunajat kepadaNya? Bukankah Allah menyuruh kita sujud kepadaNya di akhir malam dalam tahajjud kita?

Orang-orang lama lebih mempercayai ikhtiar mencari ustaz dan bomoh daripada mengangkat doa kepada Allah Yang Maha Esa. Itu yang memelikkan aku.

Aku lebih percaya kepada usaha dan ikhtiar kita sendiri. Aku juga percaya kepada mereka yang ahli dalam ilmu sains yang diberikan kemahiran dan keilmuan oleh Allah untuk mengubati kita yang sakit. Bukan aku tak percaya kepada ustaz tetapi aku percaya kalau kita yang sakit meminta ustaz atau mereka yang alim untuk berdoa untuk kita. Cukup setakat itu. Doa-doa orang-orang alim sememangnya dapat membuka tabir-tabir kekangan.

Aku pernah menyaksikan sebuah majlis membaca Al-Quran beramai-ramai dan secara marathon malam Jumaat. Dan, di tengah-tengah mereka ratusan botol-botol yang berisi air mineral yang terbuka tutupannya supaya jisim air itu bertukar menjadi air yang dapat mengubat atau menjadi penawar kepada orang-orang yang sakit, yang bebal, yang susah nak solat dan berbagai lagi malaise orang Melayu Islam. Aku bimbang bukan semua hadirin dapat membaca Ayat Yassin dan ayat-ayat syifa' dengan baik, atau dengan tajwid dan makhraj yang sempura. 

Seringkali kita mendengar alasan orang Melayu bahawa air jampi adalah satu ikhtiar. Tetapi sebenarnya, mereka lebih mempercayai kemujaraban air itu daripda mempercayai ikhtiar doa mereka sendiri kepada Sang Pencipta. Tetapi, dalam hati mereka dan dalam diam-diam, mereka mempercayai air jampi yang dibacakan Ustaz itu lebih mujarab. Mereka sering menggunakan alasan bahawa Allah yang menyembuhkan mereka yang sakit tetapi sebenarnya, mereka yakin kepada air itu. Air itu adalah makhluk Allah jua dan mereka yakin kepada air itu, bukan Allah.

Lalu, aku jadi takut.  Takut kepada iqtikad yang lari dan kekafiran yang mungkin tercetus dari pengubatan secara ini. Aku lebih percayai bahawa ayat syifa' terbaik adalah Al-Fatehah yang dibaca dari hati yang galau, yang tidak berhenti berharap kepada ihsan dan rahmat Allah. Al-Fatehah itu harus dibaca sendiri dengan tekun dan jujur, merafak rendah kepada Allah supaya doa-doa kita itu dimakbul Allah. Yang penting adalah komitmen kita kepada Allah di hujung malam di mana kita dapat bertahajjud dan bermunajat kepada Allah Yang Maha Kuasa dan Maha Mendengar serta Maha Penyayang lagi Pengasih.









No comments: